Friday, October 14, 2011

Latihan Rumusan dan Pemahaman Umum

LATIHAN 1
Soalan 1: Rumusan
[30 markah]

Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang kesan-kesan globalisasi terhadap pendidikan negara dan cara-cara mengatasinya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah kata.
Kemunculan gelombang globalisasi bermula selepas tamatnya Perang Dunia Kedua pada tahun 1945.Rata-rata negara yang terlibat dalam peperangan tersebut mengalami masalah untuk membangunkan ekonomi mereka semula.Lantaran itu Amerika Syarikat berhasrat memajukan sektor perindustrian mereka supaya lebih maju dan kehadapan daripada negara-negara Eropah terutam Britain.Maka untuk tujuan tersebut, suatu bentuk pasaran baru telah dimajukan, iaitu pasaran bebas. Berikutan itu, suatu seminar telah dianjurkan oleh Bretton Woods yang bertemakan globalisasi dari segi ekonomi untuk memulihkan dunia daripada impak peperangan. Globalisasi yang semakin hangat diperkatakan merujuk kepada suatu cara hidup tanpa sempadan dan saling berkaitan serta suatu bentuk sistem ekonomi yang diterima pakai di dunia.
Walaupun secara umumnya globalisasi itu lebih memberikan kesan kepada ekonomi dunia, namun bidang-bidang lain seperti politik dan pendidikan tidak terkecuali daripada menerima impaknya.Natijah daripada dunia tanpa sempadan, pendidikan negara kini terbuka kepada dunia luar sama ada untuk proses pembelajaran mahupun penubuhan cawangan universiti. Hal ini selaras dengan keinginan menjadikan Malaysia sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Dunia.Peluang ini sudah semestinya direbut oleh universiti luar negara terutama yang terkemuka dan berprestij untuk membuka cawangannya di negara ini.Hal ini secara tidak langsung memberi kesan yang bukan sedikit kepada institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan terutamanya institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).Dalam hal ini, para pelajar lebih cenderung memilih universiti luar yang lebih ternama demi memudahkan mereka memasuki pasaran kerja kelak.Hal inilah yang berlaku dalam realiti sebenar apabila graduan IPT luar negara menjadi pilihan utama majikan berbanding dengan graduan IPT tempatan yang seolah-olah menjadi graduan kelas kedua.Fenomena ini menyebabkan IPT tempatan mengalami masalah kekurangan pelajar dan akhirnya membawa kepada penutupan IPT berkenaan khususnya IPTS yang bersaiz kecil.
Kesan globalisasi juga akan meminggirkan bahasa Melayu atau bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu. Hal ini berlaku kerana kebanyakan universiti tersebut menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.Selain itu, para pelajar lebih mudah memperoleh maklumat melalui internet yang hampir kesemuanya dalam bahasa Inggeris.Jika hal yang sedemikian berlaku, bahasa Melayu akan menjadi bahasa kedua dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan usaha-usaha ke arah pembinaan bangsa Malaysia akan terbantut. Berkemungkinan juga situasi ini dapat menggangu gugat perpaduan kaum yang sedia terjalin utuh sejak dahulu lagi.Jika tidak ditangani dengan bijaksana maka tidak mustahil akan hilanglah slogan Bahasa Jiwa Bangsa yang dilaung-laungkan selama ini dalam jiwa generasi muda.
Percambahan pesat cawangan universiti luar negara juga akan terus mengukuhkan pengkomersialan pendidikan itu sendiri. Para korporat pendidikan akan memperoleh keuntungan maksimum dalam industri pendidikan. Situasi ini menyebabkan banyak pihak menyuarakan kebimbangan mereka bahawa matlamat dan objektif sebenar pendidikan itu tidak mampu dicapai. Pengkomersialan pendidikan ini juga akan terus menafikan konsep pendemokrasian pendidikan di negara ini. Hal ini demikian kerana hanya pelajar yang mampu berpeluang melanjutkan pendidikan mereka kerana kadar yuran pengajian yang dikenakan terlalu tinggi. Kesan yang tidak kurang pentingnya juga apabila penghayatan terhadap ilmu terkubur sedikit demi sedikit.Perkara tersebut terjadi kerana para pelajar hanya menuntut ilmu tanpa menghayati ilmu yang diperoleh.Selain itu, sistem pendidikan akan gagal menerapkan pembentukan sahsiah dalam kalangan pelajar. Sewajarnya perkara-perkara ini disedari oleh semua pihak dan langkah-langkah yang komprehensif perlulah diambil untuk menanganinya.Dalam hal ini, kerajaan seharusnya memastikan kesan globalisasi tidak menjejaskan segala yang dikecapi dan dirancang selama ini.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana“Kesan Globalisasi terhadap Pendidikan Negara” oleh Nazri Muslim Fokus, September 2007)
[30 markah]



Soalan 2: Pemahaman
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
i. Berikan maksud rangkai kata pasaran baru telah dimajukan. [2 markah]


ii. Apakah kesan globalisasi kepada bahasa Melayu? [3 markah]


iii. Pada pendapat anda, bagaimanakah pendidikan negara dapat dimajukan agar setaraf dengan pendidikan di negara-negara maju tanpa terikat dengan gelombang globalisasi? [4 markah]

1 comment:

CETUSAN SEIKHLAS RASA said...

Assalamualaikum.... Tahniah cikgu! Idea buka blog seperti ini patut diberikan pujian. Saya patut mencontohi usaha cikgu... Semoga terus berjaya dalam kerjaya!!!!